Salurkan Cintamu

Tanggal 31 mei dan 6 jun lalu, kedua-dua abang ana (kakanda Saiful Adli Bin Ishak dan kekanda Saiful Ariff Bin Ishak) Alhamdulillah telah selamat diijabkabulkan. Setinggi ucapan tahniah buat kekanda berdua. Terasa sebak memenuhi ruang dada kerana tidak berpeluang untuk melihat kalian membina masjid Allah. Walau apapun yang berlaku, ana tetap berlapang dada menerimanya. Ini adalah posisi yang terbaik yang Allah tetapkkan untuk ana. Sesungguhnya Allahlah sebaik perancang.

Beberapa minggu lalu, ana berkesempatan belajar dengan salah seorang sahabat sekelas ana yang berbangsa arab dan memandangkan kami dalam fatrah exam, perbicangan dan perbahasan dijalankan di pepustakaan universiti, beliau merupakan seorang pelajar yang sangat berdedikasi dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, serta tidak ‘loket’ untuk berkongsi ilmu dengan para sahabat tanpa mengira sebarang perbezaan antara kami. Perbincangan yang berterusan membuatkan ana mudah terasa penat dan hilang tumpuan memandangkan ana bukanlah seorang ‘ulat buku’ dan mampu bertahan untuk belajar beberapa jam tanpa henti. Lantaran itu, perbincangan kami adakalanya terhenti dan dihiasi dengan gelak ketawa susulan daripada kata-kata ana yang terpacul keluar dari kotak pembelajaran dan disusuli dengan gurau senda.

Teringat ana pada satu sesi perbualan kami, ana memanjangkan bicara dengan bercerita mengenai kegembiraan yang menyelubungi diri lantatran kerana kedua-dua kekanda ana bakal diijabkabulkan. Tambahan lagi, perkahwinan ini adalah yang pertama direncanakan oleh Pencipta buat keluarga ana dan yang unitnya kedua-duanya bakal disandingkan bersama. Namun perasaan itu deras disepuh lantaran kata-kata sahabat ana sehingga mampu memakukan situasi. Beliau dengan rasa tidak bersalah mengatakan bahawa ana adalah seorang yang tidak berperasaan dan hanya mengambil remeh tentang perkahwinan yang bakal berlangsung serta adik yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga kerana sepatutnya dalam keadaan seumpama ini, ana perlu mengambil cuti dan pulang untuk meraikan mempelai. Ana membatu beberapa ketika, hati yang tadinya berbunga, kian layu lantaran kata-katanya.

Terasa hati ini bagai benar-benar terhiris bahkan terkoyak dengan kalimah-kalimah itu. Perubahan wajah secara drastic yang terpancar dan takungan mutiara kesedihan membuatkan beliau cepat tersedar dengan kata-katanya lantas mula berfikir mungkin dengan keadaan yang lebih rasional tentang apa yang berlaku. Ana dengan perit menelan segala tuduhan yang dilemparkan dan cuba menjernihkan keadaan dalam kepayahan bermujahadah untuk berlapang dada. Masing-masing memakukan diri. Namun berbekalkan kemantapan ukhuwwah yang telah kami bina seawal ana mengenalinya membuatkan keadaan yang keruh tidak berlarutan lama. Sedikit demi sedikit hasutan syaitan dapat kami pekakkan. Dan segalanya berakhir dengan lemparan senyuman yang amat ana perlukan. Ana cuba menerangkan posisi sebenar kepadanya dan lebih jelas lagi ana bertegas dengan mengatakan bahawa ana tidak boleh sewenangnya menggunakan duit yang dibekalkan kerajaan atas kepentingan peribadi bahkan ana akan cuba memanfaatkan perbelanjaan kearah sesuatu yang lebih ilmiah dan juga boleh memberi manfaat bersama.

Tambahan lagi, jika dizinkan oleh Allah ana akan pulang pada tahun depan (2010) bersama segulung ijazah serta berbekalkan sekelumit ilmu didada yang akan dikongsi bersama masyarakat dan lebih penting lagi, jika diizinkan dan dipanjangkan umur oleh Allah, ana akan brkesempatan melihat kedua-dua kekanda dan keluarga yang amat disanyangi. Segala penjelasan ana membuatkan beliau terpana dan segera meminta maaf atas kelancaran kata-katanya yang tidak berasas. Ana menerimanya dengan hati yang terbuka dan mungkin juga disebabkan nilai kasih sayang pada beliau yang berakar kukuh.


Secara peribadinya, Ana cukup terpegun dengan sentimen nilai kasih sayang yang ditunjukkan oleh manusia berbangsa arab khususnya dalam beberapa situasi, ini mungkin kerana meraka mewarisi sifat mahmudah yang ditonjolkan oleh kekasih agung Allah S.W.T, iaitu Rasulullah. Cuma kekadang mereka bersifat agak kasar sehingga adakalanya membuat ana gerun menatapi mereka. Namun walau siapapun mereka,mereka adalah seperti kita, hamba ilahi. Nilai kasih sayang yang tidak pernah mengenal erti perbezaan.

Sentimen kasih sayang manusia akan bertambah sempurna apabila ia diterjemahkan pada keadaan yang sepatutnya, contoh mudah yang ana nak bawa adalah merujuk kepada situasi bagaimana rasululullah menyalurkan kasih sayang baginda pada seluruh anak adam tanpa mengenal walau sekelumit perbandingan samada kepada isteri, anak, sahabat mahupun umat sejagat. Bahkan ia akan bertambah cantik apabila disimpulkan dengan tautan ukhuwwah yang ikhlas semata kerana Allah.

Begitulah secebis perkongsian pengalaman yang ana boleh kongsikan. Sebagai tatapan dan pedoman buat semua. Dan tiada niat untuk mengaibkan mana-mana pihak. Semoga kita tergolong dalam golongan hambanya yang mengenal erti kasih dan sayang dan menyalurkan ke tempat yang halal dan sepatutnya. Sekian.

Cintaku hanya untuk Mu.


1 comments:

Post a Comment