-Realiti kehidupan-


Hari ini tanggal 24 disember 09, tarian catatan ku mainkan kembali setelah beberapa lama terpaku dek kerana tugas tugas yang kurang membenarkan ana mencoretkan kisah, atau mungkin juga disebabkan ana sendiri yang kurang mahir menguruskan masa sehingga terkadang lupa dengan medan penulisan yang sememangnya perlu diasah lagi bakat yang baru mula bertatih. Sejenak berfikir, ana masih lagi empunya perjalanan kehidupan yang berbaki hampir 6 bulan lagi di bumi urdun tercinta ini, insyaallah.

Setelah setahun dua bulan dihadiahkan kesempatan menjelajah dan meneroka, hari hari yang dilalui tidak cukup rasanya bagi empunya diri . Tambahan lagi apabila langkah perjuangan dihiasi dengan 1001 kenangnan.


Apakah masih ada peluang dan ruang yang disediakan untuk ana melangkah kembali di bumi ini??

Namun walau apapun yang berlaku, bumi ini, tanah ini, udara ini, segalanya di sini, terlalu banyak memahat pengalaman dan pangajaran yang sudah tentu tersemat di kalbu. Apa Yang pasti, ia akan menjadi antara kenangan yang terindah sepanjang sesi pembelajaran bersama teman-teman seperjuangan.

Segalanya akan tetap berlaku walaupun kita berharap bumi akan berputar kembali ke zaman silam bagi memastikan kita akan melangkah dengan lebih baik dan menyumbangkan lebih bnyak sumbangan dari segala aspek. Namun itu hanyalah mimpi indah yang tidak bisa terlaksana. Apa yang perlu adalah keharusan kita untuk menyusun susunan langkah dan memandang terus kehadapan tanpa sekilas menoleh imbasan kehidupan lalu.

Beberapa ketika lagi, ana dan sahabat- sahabat akan menerjah dan merasai reality kehidupan bersama masyarakat yang sememangnya akan memandang ‘ustaz dan ustazah lepasan timur tengah ‘ sudah tentu cukup mahir dalam bidang agama dan sebagainya. Ana kira Mustahil pak cik dan mak cik sekampung akan bertanya tentang teori-teori ekonomi yang di pelajari saat ini. Namun apakah kita sudah cukup bersedia untuk itu??

Maka, dengan adanya kesedaran sivix seumpama ini, ayuh!! kita sama-sama mengkoreksi diri untuk merialisasikan impian, bukan sahaja tuntutan untuk menjadi mahasiswa kelas pertama, tapi juga seorang agamawan yang pakar dalam bidang tersendiri.

Semoga Allah mempermudahkan laluan kehidupan dan menghadiahkan kesungguhan pada setiap langkah dan usaha.. Ameen.

ukht syahida ishak,
1.13 pagi,
Irbeed, Jordan.

Bermujahadahlah!!


Alhamdulillah, entry kali ni ana suka nak berkongsi dengan para sahabat yang sudi menziarahi blog ana yang dah sekian lama menyepi. Bukan apa, namun inilah pengalaman seronok yang ana suka nak ceritakan. Apapun, pertama sekali ana mohon maaf kerana dah lama tidak meng’up date’ blog suram ni.

Dah hampir sebulan pun kehidupan ana dan sahabat2 senior sibuk bersama adik-adik baru di bumi Jordan ni.
Macam-macam ragam dan kerenah yang ana dapat saksikan, antaranya ialah babak dan part sedih adik-adik bila teringat keluarga, babak gembira dapat kenalan, pening hari pertama masuk jamiah, pelik dengan budaya arab,gerun dengan doctor dan dukturah, kaku untuk membiasakan diri dalam biah yang memang di luar jangkaan mereka.

Terkadang tersenyum ana pada setiap tindakan mereka, bagai anak-anak kecil yang benar-benar memerlukan bantuan sokongan mahupun pasakan semangat dari kami yang bergelar ‘senior’.

Namun, apa yang terpapar pada wajah tulus dan luhur mereka ialah konsep mujahadah dalam mempelajari kehidupan baru, jiwa ana cukup terkesan dengan juhud mereka demi untuk mengadaptasikan diri dengan kehidupan harian. Tidak lekang mempelajari ilmu dan kalimah baru, bahkan tidak pula malu bertanya pada sahabat sohabiah melayu mahupun arab walau satu ketika ana lihat adik-adik ini, tertunduk malu dek kerana penghinaan dari kanak-kanak arab yang berada di sekeliling mereka yang jelas melontarkan kalimah-kalimah yang mampu melukakan hati.

Namun, keadaan itu sedikitpun tidak mematahkan semangat juang mereka. Mungkin inilah anugerah kekuatan yang Allah hadiahkan untuk mereka. Syabas ana ucapakan pada kalian. Yakinlah bahawa setiap ujian dan dugaan yang Allah berikan tidak lain dan tidak bukan, tentulah pada hamba yang benar-benar tabah menghadapainya. Bersyukurlah kerana kalian adalah hamba terpilih dari jutaan hamba lain.

Ada pula dalam kalangan adik-adik yang bertuah ini, sebahagian mereka sanggup mencari peluang mencuri masa bermujahadah untuk menjadi “ mustami’ ” (pendengar) dalam subjek yang diambil oleh senior dan subjek di luar jamiah (jamiah lain) semata-mata untuk mengejar tuntutan agama dalam mencari ilmu. Bertepatan benar dengan hadis yang disebut oleh Rasulullah S.A.W mafhumnya: “menuntut ilmu itu adalah kefardhuan ke atas ummat islam”.

Seawal kelas pertama yang mereka masuk, alhamdulillah Allah telah temukan kami. Terkejut juga ana dibuatnya, dan saat itu teserlah mimik muram di wajah mereka, sambil mencebik mereka mengiyakan tanggapan ana. Tidak faham la akak!!!

Ana kira mereka dah serik untuk belajar lagi, tapi segalanya meleset apabila sekali lagi Allah temukan kami selepas beberapa hari. Namun kali ini, nah!! Sambil tersenyum mereka cuba mensyarahkan apa yang telah dipelajari dalam kelas. Mumtaz!! Ana tabik dengan usaha yang ditunjukkan. Usaha mereka dah membuahkan hasil. Syukran ya Rabb!!

Walauapapun yang berlaku, segala yang baik itu, Allah lah penentunya. Semoga setiap langkah dan usaha yang kita lakukan, syurga Allah sebagai gantinya. Moga kita tergolong dalam golongan muttaqin.

-Ikhlaskan niat, jelaskan matlamat-

Perjuangan yang perlu diteruskan.

Pengembaraan mencari ilmu memang benar-benar menyukarkan tambahan lagi, bila kita terpaksa berjauhan dengan keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling. bertambah rumit, bila kita terpaksa mengharungi segala jenis dugaan dan ujian dengan hanya berbekalkan semangat dan kekuatan sendiri. Namun, adakalanya kekuatan itu Allah anugerahkan melalui sahabat seperjuangan yang sama-sama bermujahadah untuk mencari mutiara ilahi ini.

Meneruskan saki baki perjuangan mengejar tuntutan agama demi mencari nur ilahi di bumi anbiya’ ini bukan mudah bagi seorang pelajar dan daie yang benar-benar cuba untuk memutikkan cintanya kepada ilmu Allah. Adakalanya niat jauh tersimpang dari tuntutan syar’i , mencari ilmu semata nenagih pujian sahabat seperjuangan, adakalanya lupa menadah tangan bersyukur pada rahmat ilahi ketika kejayaan bertandang, tertelan jolokan syaitan menggangkat diri sendiri dan sebagainya. Bergetar jiwa bila teringat hadith rasulullah yang menyebut tentang tegahan baginda pada ummatnya.

قال رسول الله (صلى) : من طلب العلم ليجاري به العلماء أو ليماري السفهاء وجوه الناس اليه ادخوله الله النار

Sabda rasulullah: (Sesiapa yang menuntut ilmu supaya dengan ilmunya dia boleh berbantah dengan ulama’ @ berbantah dengan orang jahil dan dengan ilmunya, dia dipandang tinggi, maka Allah akan memasukkan ia ke dalam neraka.)

Jutaan ujian dari Allah yang melanda namun, hanya sekelumit darinya yang mampu ditangani dengan penuh bijaksana dan berhemah, golongan mad’u yang datang meminta nasihat ketika jatuh ingin berdiri, hanya segelintir yang mendapat kekuatan kembali, kalah dalam puluhan mujahadah, lalai melaksanakankan hak Pencipta, ibubapa, keluarga, sahabat dan masyarakat serta yang paling utama adalah hak pada diri sendiri .

Seluas lautan terpaksa direntasi, gunung-ganang perlu diharungi, bukit-bukau dilalui berbekalkan mujahadah beriringi amanah islam, ibubapa serta masyarat semata mencari bekal memasak ilmu di dada di lautan mutiara yang dihuni para anbiya’ dan ilmuan yang penuh keberkatan. Di bumi inilah para anbiaya’ berjihad bermatian menegakkan deenul islam dan tiba kini masa generasi kita menggali tinggalan mereka. Moga kekuatan milik bersama.

Agama suci ini menyeru tegas ummatnya supaya beriltizam dalam menuntut ilmu walaupun terpaksa bermandi peluh dengan juhud yang luar biasa. Tuntutan agama perlu dipenuhi demi mengecap Cinta Ilahi. Walauapapun yang terjadi, segalanya adalah rancangan ilahi dan sememangnya Dial ah sebaik perancang. Moga segala usaha syurga idaman sebagai ganjarannya. Bertepatan dengan kalam kekasih Allah yang berbunyi:

قال رسول الله (صلى) : من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله به طريقا الى الجنة

Sabda rasulullah: (Barangsiapa yang berusaha mencari satu jalan untuk menuntut ilmu, maka sesungguhnya Allah akan mempermudahkan urusan perjalanannya ke syurga.)

-Ingatan buat para sahabat dan khususnya pada empunya diri-

Kalam Qalbiey


Dikala terasa jauh dari ilahi, lemah semangat, futur, kecewa dan pelbagai perasaan yang berpaut kuat pada diri, pantas hati dan aqal mencari sumber ketenangan menghalang terus dari putus harapan dan pergantungan pada pencipta.

Mengambil masa untuk mengenang sirah dan perjuangan rasulullah sebagai inspirasi bukanlah sia-sia, bahkan mampu memberikan 1001 impak dan mengembalikan cebisan dan sisa-sisa kekuatan diri sehingga mampu berpijak kembali di dunia yang hakiki.

Cukup malang bagi sesiapa yang diberi peringatan tapi tidak dijadikan tauladan tambahan lagi, empunya diri yang telah ditakdirkan meneruskan kehidupan di bumi anbiya’ ini, harapan dan doa tinggi menggunung mengharapkan agar diri dan sahabat-sahabat sentiasa dalam rahmat ilahi.

Memuncak kerinduan pada kekasih ilahi yang tegar berdiri dengan semangat yang benar ganjil menyebarkan dakwah menegakkan agama Allah walau terpaksa mengharungi onak dan duri yang jauh lebih parah dari insan lain.

Benar diri ini mengharapkan semangat kentalmu ya Rasulullah…


Sungguh aku rindu.

Saat ini cukup damai,

Kekadang terhembus angin soify,

Menusuk ke tulang temulang,

Sungguh aku kerinduan,

pada keagungan islam yang pernah gemilang,

satu ketika dahulu,

terkenang aku pada seorang insan,

berambut hitam likat menutupi bahu,

berwajah tenang seakan rembulan,

berkulit kemerahan menampakkan kesucian,

bertubuh gagah tanda keberanian,

bersifat zuhud takutkan tuhan,

sentiasa dia mengingatkan keagungan Allah..

yang tiada tandingannya,

bermatian dalam jihad,

lekang tidak ingatannya pada yang esa,

petunjuk jalan akhir zaman,

kekasihn tuhan semesta alam,


namun,

kesuciannya disalah ertikan,

sentiasa dihina, dicaci, dan disingkir,

malah cuba ditamatkan riwayatnya,

namaun tautan rabitah diyakini,

digagahi kakinya bertapak dibumi anbiya’,

menyebarkan ad-deen yang sempurna,

walau berkocak darah dalam sepatu,

menahan kesakitan yang terzahir,

mengharungi ribuan peperanagan,

melalui pelbagai rintangan, cubaan, onak dan duri,

demi membawa islam yang satu,

teguh melangkah diiringi teman,

berganding bahu disaat gentir,

bersatu padu setiap waktu,

sentiasa Allah pergantungan yang satu,


Akhirnya,

Bersinar ad-deenul islam,

Menguasai ¾ muka bumi,

Diterangi nur rahmat yang Esa,

Sungguh dia

Aku rindui..

Kerana dia, berkesempatan kita kini,

Mengecap 2 nikmat ilahi,

Iman dan islam disanjung menggunung,

Ayuh kita menadah tangan,

mohon keampunan beserta tangisan,

kerna kealpaan sentiasa bertandang,

bersyukurlah kita masih dalam naungan,

kasih saying pencipta

syukur pada segalanya


sungguh aku rindu,

padanya yang tidak pernah ku temui,

itulah ‘Muhammad’ kekasih ilahi.


Hasil nukilan: ukht nurul syahida binti ishak

Salurkan Cintamu

Tanggal 31 mei dan 6 jun lalu, kedua-dua abang ana (kakanda Saiful Adli Bin Ishak dan kekanda Saiful Ariff Bin Ishak) Alhamdulillah telah selamat diijabkabulkan. Setinggi ucapan tahniah buat kekanda berdua. Terasa sebak memenuhi ruang dada kerana tidak berpeluang untuk melihat kalian membina masjid Allah. Walau apapun yang berlaku, ana tetap berlapang dada menerimanya. Ini adalah posisi yang terbaik yang Allah tetapkkan untuk ana. Sesungguhnya Allahlah sebaik perancang.

Beberapa minggu lalu, ana berkesempatan belajar dengan salah seorang sahabat sekelas ana yang berbangsa arab dan memandangkan kami dalam fatrah exam, perbicangan dan perbahasan dijalankan di pepustakaan universiti, beliau merupakan seorang pelajar yang sangat berdedikasi dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, serta tidak ‘loket’ untuk berkongsi ilmu dengan para sahabat tanpa mengira sebarang perbezaan antara kami. Perbincangan yang berterusan membuatkan ana mudah terasa penat dan hilang tumpuan memandangkan ana bukanlah seorang ‘ulat buku’ dan mampu bertahan untuk belajar beberapa jam tanpa henti. Lantaran itu, perbincangan kami adakalanya terhenti dan dihiasi dengan gelak ketawa susulan daripada kata-kata ana yang terpacul keluar dari kotak pembelajaran dan disusuli dengan gurau senda.

Teringat ana pada satu sesi perbualan kami, ana memanjangkan bicara dengan bercerita mengenai kegembiraan yang menyelubungi diri lantatran kerana kedua-dua kekanda ana bakal diijabkabulkan. Tambahan lagi, perkahwinan ini adalah yang pertama direncanakan oleh Pencipta buat keluarga ana dan yang unitnya kedua-duanya bakal disandingkan bersama. Namun perasaan itu deras disepuh lantaran kata-kata sahabat ana sehingga mampu memakukan situasi. Beliau dengan rasa tidak bersalah mengatakan bahawa ana adalah seorang yang tidak berperasaan dan hanya mengambil remeh tentang perkahwinan yang bakal berlangsung serta adik yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga kerana sepatutnya dalam keadaan seumpama ini, ana perlu mengambil cuti dan pulang untuk meraikan mempelai. Ana membatu beberapa ketika, hati yang tadinya berbunga, kian layu lantaran kata-katanya.

Terasa hati ini bagai benar-benar terhiris bahkan terkoyak dengan kalimah-kalimah itu. Perubahan wajah secara drastic yang terpancar dan takungan mutiara kesedihan membuatkan beliau cepat tersedar dengan kata-katanya lantas mula berfikir mungkin dengan keadaan yang lebih rasional tentang apa yang berlaku. Ana dengan perit menelan segala tuduhan yang dilemparkan dan cuba menjernihkan keadaan dalam kepayahan bermujahadah untuk berlapang dada. Masing-masing memakukan diri. Namun berbekalkan kemantapan ukhuwwah yang telah kami bina seawal ana mengenalinya membuatkan keadaan yang keruh tidak berlarutan lama. Sedikit demi sedikit hasutan syaitan dapat kami pekakkan. Dan segalanya berakhir dengan lemparan senyuman yang amat ana perlukan. Ana cuba menerangkan posisi sebenar kepadanya dan lebih jelas lagi ana bertegas dengan mengatakan bahawa ana tidak boleh sewenangnya menggunakan duit yang dibekalkan kerajaan atas kepentingan peribadi bahkan ana akan cuba memanfaatkan perbelanjaan kearah sesuatu yang lebih ilmiah dan juga boleh memberi manfaat bersama.

Tambahan lagi, jika dizinkan oleh Allah ana akan pulang pada tahun depan (2010) bersama segulung ijazah serta berbekalkan sekelumit ilmu didada yang akan dikongsi bersama masyarakat dan lebih penting lagi, jika diizinkan dan dipanjangkan umur oleh Allah, ana akan brkesempatan melihat kedua-dua kekanda dan keluarga yang amat disanyangi. Segala penjelasan ana membuatkan beliau terpana dan segera meminta maaf atas kelancaran kata-katanya yang tidak berasas. Ana menerimanya dengan hati yang terbuka dan mungkin juga disebabkan nilai kasih sayang pada beliau yang berakar kukuh.


Secara peribadinya, Ana cukup terpegun dengan sentimen nilai kasih sayang yang ditunjukkan oleh manusia berbangsa arab khususnya dalam beberapa situasi, ini mungkin kerana meraka mewarisi sifat mahmudah yang ditonjolkan oleh kekasih agung Allah S.W.T, iaitu Rasulullah. Cuma kekadang mereka bersifat agak kasar sehingga adakalanya membuat ana gerun menatapi mereka. Namun walau siapapun mereka,mereka adalah seperti kita, hamba ilahi. Nilai kasih sayang yang tidak pernah mengenal erti perbezaan.

Sentimen kasih sayang manusia akan bertambah sempurna apabila ia diterjemahkan pada keadaan yang sepatutnya, contoh mudah yang ana nak bawa adalah merujuk kepada situasi bagaimana rasululullah menyalurkan kasih sayang baginda pada seluruh anak adam tanpa mengenal walau sekelumit perbandingan samada kepada isteri, anak, sahabat mahupun umat sejagat. Bahkan ia akan bertambah cantik apabila disimpulkan dengan tautan ukhuwwah yang ikhlas semata kerana Allah.

Begitulah secebis perkongsian pengalaman yang ana boleh kongsikan. Sebagai tatapan dan pedoman buat semua. Dan tiada niat untuk mengaibkan mana-mana pihak. Semoga kita tergolong dalam golongan hambanya yang mengenal erti kasih dan sayang dan menyalurkan ke tempat yang halal dan sepatutnya. Sekian.

Cintaku hanya untuk Mu.


Ilham ilahi.. Syukran Ya Rabb

salam mujahadah buat teman-teman..

Minggu cuti sem kali ni ana dan sahabat2 ana sama2 memanfaatkan cuti kami dengan menjalankan projk yang dinamakan "satu kepala satu artikel". Ia bertujuan untuk mempertinggatkan penguasaan bahasa sekaligus melatih kami dalam kemahiran menterjemah.
program ni benar-benar memberi kesedaran kepada kami bahawa betapa pentingnya latihan seumpama ini dalam usaha untuk melahirkan cerdik pandai yang benar-benar berkualiti dan ia sememangnya memerlukan mujahadah yang sangat tinggi. alhamdulillah dalam usaha ini, ana sempat menyiapkan beberapa artikel berkaitan ekonomi. Di antaranya ialah:

Mekanisma Ketidakadilan Dalam Pengagihan Harta dan Kekayaan

Oleh: Nurul Syahida Bt. Ishak

Dewasa ini, dunia semakin liar di bebasi dengan penyakit dan wabak kemaksiatan, hukum Allah tidak lagi menjadikan manusia gentar, bahkan ada segelintir manusai dengan bebasnya menghina tanpa ada secebis pun sifat kehambaan dalam diri yang benar-benar jahil. Manusia semakin aktif berjoget dalam kejahilan dan semakin jauh dari rahmat pencipta. Alangkah pilunya, apabila kegemilangan yang pernah islam kecapi dulu, tidak lagi menjadi benteng pertahanan umat akhir zaman, bahkan islam kini rancak dihina dan difitnah oleh anasir luar. Manusia semakin lupa diri, golongan miskin terus ditindas, dan golongan kaya terus hanyut dalam nikmat duniawi. Bahkan ada yang sanggup menterjemahkan kecantikan islam dalam pengagihan harta dan kekayaan dengan cara terlarang dan di antaranya ialah:

P Pengharaman Mendapatkan Hasil Secara Tidak Adil

Islam mencegah secara mutlak mendapatkan hasil secara monopoli. Setiap barang mempunyai ‘harga yang adil, dan harga sama’. Adapun definisi monopoli menurut pandangan fiqh: wujudnya individu yang membeli sejumlah barang dengan niat menaikkan harga kerana permintaan yang tinggi dari pembeli serta menjerumuskan mereka ke lembah kemudharatan.

Pengharaman Mendapatkan Hasil Secara Riba

Secara definisinya, riba membawa makna lebihan (Al-ziyada), mengembang (al-numuw). meningkat dan membesar (al-irtifa dan al-uluw). Setiap pertambahan dalam harga atau pinjaman adalah dilarang oleh Allah S.W.T dan Rasulnya secara keras. Diantara hikmah pengharaman riba adalah disebabkan berlakunya kezaliman kepada beberapa golongan khususnya golongan miskin yang tidak berkemampuan. Kewujudan riba akan menjerumuskan golongan ini ke lembah kemiskinan yang keterlaluan dan mengangkat kekayaan golongan kaya sehingga mereka selesa mendapatkan hasil kekayaan dengan hanya menggoyangkan kaki.

Secara jelasnya Allah S.W.T mengharamkan riba kerana kemampuannya menjerumuskan manusia ke kelopak kehinaan sekaligus menghalangi manusia mendapat keberkatan dari ilahi, iaitu pencipta seluruh alam yang maha mengetahui lagi maha bijaksana

Pengharaman Mendapatkan Hasil Dengan Cara Memakan Harta Orang Lain

Islam menegaskan bahawa perlunya mujahadah dalam berusaha untuk mendapatkan hasil yang halal bagi menjamin kehidupan seseorang individu muslim berada dalam kondisi yang baik sekaligus memastikan tidak berlaku sebarang kezaliman pada mana-mana pihak. Dunia jelas mempamerkan kegiatan yang tidak bermoral ini pada masyarakat seperti berlakunya rasuah, judi, pertaruhan, salahguna kuasa para pemerintah dan sebagainya. Tapi malangnya, hanya sekelumit yang mngambil pengajaran dan selebihnya masih aktif mendongak ke langit menanti balasan ilahi tanpa mereka sedari.

Pengharaman Mendapatkan Hasil Secara Paksaan

Allah menzahirkan islam dalam bentuk yang amat sempurna dan mampu melengkapi semua sudut dan aspek kehidupan. Namun, kewujudan manusia yang tidak berdiri dan berpegang di atas agama Allah ini telah mencacatkan kecantikan islam. Dengan mudah mereka mencalari hukum-hukum Allah tanpa memikirkan balasanNya. Tidak kurang pula golongan yang tidak berhati perut menyebarkan kezaliman di atas muka bumi ini contohnya, wujud golongan yang cuba menghalang wanita dari mendapat hak mereka dalam sistem mirath, dan golongan yang dengan sewenagnya membuat pembaziran dalam sumber rezeki, serta kewujudan golongan pemilik hamba yang menghalang para hamba dari memiliki sebarang harta. Hal ini jelas mencacatkan kesempurnaan islam yang sememangnya berdiri di fatas tiang keadilan.

Rujukan: Muhadharoh iqtisod ijtima’i

Allah sebaik perancang

Itukan takdir ilahi!!!

Hari ini aku sekali lagi terpedaya degan hasutan syaitan la’natullah, aku membiarkan nikmat masa lapang yang dikurniakan oleh Allah dengan begitu sahaja. Aku terus melelapkan mata tanpa mensyukurinya. Namun lenaku diganggu oleh deringan telefon bimbit yang kian nyaring. Aku bangkit dengan tidak rela. Selesai membaca doa,aku cuba menstabilkan diriku beberapa ketika, lantas menuju ke kamar selesa dan terus bersiap menemui tuhan pencipta alam.

Sesungguhnya kepadanya sajalah tempat pergantungan kita. Kalau bukan kerana nikmat yang dihadiahkan kepada kita, sudah pasti kita tidak akan mampu menggerakkan walaupun satu jari. Maka marikah kita sama-sama bersyukur kepadaNya.

Aku kira bahawa aku akan melalui satu proses kehidupan seperti biasa hari ini namun, sangkaanku tidaklah setepat mana kerana aku hampir saja terlupa dengan janjiku untuk menghadiri diskusi ekonomi bersama rakan seperjuangan yang akan disampaikan oleh u.Heizal Hezry, seorang pelajar PHD di university yarmouk. Syukurlah aku mengingati janjiku itu. Dan ia juga adalah rahmat dari Allah untukku. Syukran Ya Rabb.

Aku terus melangkahkan kaki di bumi gersang ini bersendirian menuju ke tempat program dijalankan sambil mulutku terkumat kamit membaca al-makthurat. Kebiasaannya aku akan sama-sama membacanya dengan sahabat setiaku, namun memandangkan beliau telah dulu keluar seawal jam 8 pagi kerana perlu menghadiri mesyuarat maka, aku terpaksa bersendirian walau ditemani Raqib dan Atid.

Sesampainya aku di rumah penganjur, program telah beberapa minit bermula. Namun ia sedikitpun tidak mencacatkan semangatku untuk setia mendengar. Satu demi satu amanat, amanah, nasihat, kata semangat dan sebagainya tersusun keluar dari mulut ustaz sebagai penguat semangat khususnya pada senior kami yang bakal pulang ke tanah air sambil menggendong gelaran ‘ustaz dan ustazah dari tanah arab’, dan akhirnya program ditamatkan dengan sesi diskusi soal jawab.

……………….............................

Sepangjang perjalanan pulang, aku hanya mendiamkan diri. Kekadang terbisik di telingaku kata-kata ustaz yang membuatkan keazamanku semakin berakar untuk memulakan medium penyebaran ilmu dan dakwah ini. Kata ustaz, andai kita orang yang tidak pandai maka, kena lebih banyak berusaha dari orang lain. Mesti harus rajin mencari titik kelebihan diri untuk cuba bantu orang lain. Perlu lebih banyak memberi dari menerima. Dan perlu banyak membantu supaya kita juga mudah dibantu. Kalau kita tidak ada kelebihan dalam bidang komunikasi, cungkil bakat dalam bidang lain. Cari titik kekuatan diri kerana kata beliau medan sebenar kita adalah berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai ragam dan karenah. Ada golongan tua, muda, kecil, besar, berpendidikan, jahil, penduduk kampng, bandar dan sebagainya. Lantaran itu kita mesti kuasai segala bentuk ilmu supaya kita tergolongan dalam golongan cendikiawan yang tidak mempersiakan peluang dan amanah yang Allah pertanggnugjawabkan keatas kita, serta juga mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Kata-kata ustaz terus terngiang di telinga seolah memanggilku untuk berhijrah membuat anjakan paradigma. Dalam hati kecilku terasa getaran bibit-bibit semangat ingin mencuba, walaupun aku sedar kemampuanku membatasinya. Namun dengan nikmat keazaman yang tinggi, aku gagah melawan perasaan dan nafsu perosak itu. Andai dapat ku lihat ia, sudah pasti aku menggenggam perasaan itu dan ku pijak-pijak agar ia tidak lagi membuntukan hati kecilku.

Tepat jam 4.30 petang, dengan lafaz Bismillah, serta berbekalkan tunjuk ajar sahabatku, aku memulakan coretan dan bermulalah sudah lembaran baru dalam hidupku. Semoga Allah mempermudahkan urusan dan mennguatkan semangatku agar aku tetep gagah berdiri berkongsi dan menyebarkan ilmu dan dakwah di bumi Allah yang penuh keberkatan ini.

Aku benar-benar mengharapkan tunjuk ajar dari kalian,sahabat-sahabat seperjuanganku.

Peace in Allahs love