Kembara Mujahidah !!


Ucapan tahmid memenuhi ruangan kalam, setelah ana dan sahabat-sahabat selamat sampai ke teratak usang kami , casa intelek. Empat hari tiga malam rehlah kami ke dua buah mantiqah di bumi Jordan iaitu, mu’tah dan aqobah cukup memahat pengalaman manis yang tidak mungkin kami lupakan tambahan lagi apabila perjalanan para musafir ditemani hujan lebat dan hembusan angin syita’ yang mampu menggoncang kestabilan sebuah bas bermuatan penuh.


Seharian perjalanan kami ke mu’tah dimanfaatkan dengan menziarahi dhoreh 3 syuhada’ yang berpeluang menghadap ilahi tanpa perlu dimandikan jasadnya sebagai bukti kepahlawanan mereka bermatian menegakkan Deenul Islam yang syahid di peperangan mu’tah. 3 syuhada’ yang dimaksudkan ialah Jaafar Atthoyyar, Zaid bin Harithah, dan Abdullah bin Rawahah.


Antara kisah yang mampu menghadirkan semangat perjuangan seorang mujahid adalah syahidnya Jaafar Attoyar kerana mempertahankan panji islam sebagai tanda keagungan islam. Beliau dengan gagah mempertahan panji dengan tangan kanannya, namun dengan kuasa Allah, tangannya disambar pedang musuh yang ligat menghunus para mujahidin islam. Dengan perkasa beliau mengalihkankan panji ke tangan kirinya namun, perkara yang sama telah Allah takdirkan ke atas beliau!! Akhirnya beliau syahid dalam keadaan memeluk panji dengan baki tangan yang ada. Apabila perkabaran syahidnya mujahidin ulung itu sampai kepada Baginda rasulullah, maka sabda rasulullah yang mafhumnya “ sesungguhnya aku melihat Jaafar terbang di syurga bersama sayapnya”. Wallahua’lam. Semoga para syuhada’ yang syahid di medan perang akan sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.



Sejarah demi sejarah kami kupas, kemegahan islam satu ketika dahulu dapat kami rasakan walau hanya dengan sekelumit kupasaan keangunganNya. Kami juga berpeluang dihidangkan dengan kesempatan meziarahi maqam nabi Allah Nuh alaihissalam bersama simbolik sebuah gunung yang di ukir menjadi bahteranya. Subhanallah.!!


Ruang demi ruang disingkap, peluang demi peluang di hadiahkan oleh Allah kepada kami, sepetang kami memaksimakan kualiti masa di Istana Karak yang pernah ditawan oleh Sollahuddin Al Ayubi bersama tenteranya yang mengambil masa hampir 8 bulan untuk proses pengepungan. Nah!! Berkat istimrarnya tahajud dan perngantungan yang tinggi kepada Ilahi, maka tentera rom dapat ditawan. Syabas buat tentera-tentera Allah!!


Perjalanan bersejarah selama sehari telah kami habiskan di mu’tah dan bermalam di sana, kembara khalifah kami diteruskan lagi dengan menelusuri gunung ganang dan dataran berpasir bertemankan hembusa syita’ yang menghunus tulang-tulang kering kami. Jauh di sudut hati seungkap kalimah syukur kami kirimkan pada ilahi kerana diberi peluang menghirup udara dan bertapak seketika didataran yang pernah dipijak oleh Rasulullah. Terasa zuoq seorang mujahidah. Subhanallah !!


Sesampainya kami di destinasi kedua setelah mengharungi 2 jam perjalanan, bentangan agungNya kuasa ilahi melalui keindahan laut merah yang luas seluas mata memandang menjadi tatapan pagi kami. Hanya Dialah sebaik pengatur kejadian.!!


Ruangan Masa yang berbaki, kami manfaatkan dengan menikmati juadah seafood, membeli-belah beberapa jenis buah tangan untuk keluarga tercinta, memandangkan dengan izin Allah, kami bakal mengakhiri gelaran mahasiswa jamiah yarmouk awal bulan 6 ini, dan akan pulang ke tanah air.


Kami juga sempat melemparkan pandangan pada suatu sudut pemandangan iaitu, tinggalan kaum aikah yang Allah timpakan keatas mereka azab dengan menjadikan mereka monyet atas sebab kederhakaan yang mereka lakukan. Selain itu, para musafirin mendapat halwa mata yang menarik dan sebagainya. Keindahan yang terpapar sudah cukup menggambarkan kuasa agung dan mutlak milikNya.


Insyaallah segala pengalaman yang kami dapat akan menambahkan lagi kesedaran islam dalam diri . Dan semoga kita termasuk dalam golongan yang apabila diberi nikmat dan peringatan, maka kita tidak kufur dengan setiap pemberian. Wallahua’lam.

Kitakah pewaris akhlak nabi??



- Akhlak adalah buah kepada keimanan seorang hamba -



Matlamat utama ajaran islam adalah untuk mendapatkan kemuliaan akhlak. Kelahiran rasulullah s.a.w adalah sebagai bukti peri pentingnya akhlak yang baik. Antara Tujuan utama pengutusan Rasulullah s.a.w ke muka bumi adalah untuk menjadi contoh tauladan yang baik kepada seluruh ummat.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”.


Hal ini ditegaskan lagi dalam al-quran:
41. (yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan. (al-hajj:41)


Kemuliaan akhlak seorang hamba adalah hasil kepada kesempurnaan pengabdian diri kepada Allah taala. Dan tidaklah dikira beriman seseorang itu apabila dia tidak berakhlak dengan akhlak yang baik.


Sabda Rasulullah :
“ bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita, akan tetapi ia adalah keyakinan yang tertanam dalam hati dan mampu dibuktikan dengan amalan”. (H.R Ad-Dailami)


Rasulullah pernah ditanya tentang apakah itu agama? Maka baginda menjawab: kemuliaan akhlak (husnul khuluq) dan baginda ditanya lagi tentang apakah itu kejahatan? Lalu baginda menjawab: akhlaq yang buruk (su’ul khuluq)


Akhlak mulia yang dimiliki oleh seorang hamba adalah asset paling penting di atas neraca timbangan pada hari qiamat kelak. Oleh itu, siapa yang buruk dan rosak akhlaknya, maka timbangan amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya.


Rasulullah bersabda lagi :
“ tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari qiamat nanti melainkan akhlak yang baik. (HR Abu Daud dan Tarmizi)


Islam menterjemahkan kecantikan akhlak dapat dilihat melalui kesempurnaan ibadah yang dilakukan oleh seorang hamba.


Allah berfirman di dalam Al-quran sebagai bukti :
“ sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar ”. ( surah al-Ankabut:45)


Rasulullah juga menjelaskan perkara ini dengan sabdanya :
“ sesiapa yang solat (tetapi) tidak dapat menjauhkan dirinya dari perbuatan yang keji dan mungkar, ia akan bertambah jauh dari Allah”. (HR Tabrani)


Secara konklusinya dapatlah disimpulkan bahawa akhlak yang sempurna perlu diterapkan dalam diri setiap individu muslim. Namun, ia tidak akan terlaksana tanpa ada gerak kerja untuk mencapainya.Islam telah mengariskan method yang sesuai yangmana di antaranya ialah dengan wasilah menjaga segala bentuk pengabdian diri kepada Allah.

semoga segala amalan kita akan terus ditahsin dan moga kita tergolong dalam pewaris akhlak rasulullah SAW.


santapan rohani,
-Jaga akhlak, hiasi peribadi-

-Realiti kehidupan-


Hari ini tanggal 24 disember 09, tarian catatan ku mainkan kembali setelah beberapa lama terpaku dek kerana tugas tugas yang kurang membenarkan ana mencoretkan kisah, atau mungkin juga disebabkan ana sendiri yang kurang mahir menguruskan masa sehingga terkadang lupa dengan medan penulisan yang sememangnya perlu diasah lagi bakat yang baru mula bertatih. Sejenak berfikir, ana masih lagi empunya perjalanan kehidupan yang berbaki hampir 6 bulan lagi di bumi urdun tercinta ini, insyaallah.

Setelah setahun dua bulan dihadiahkan kesempatan menjelajah dan meneroka, hari hari yang dilalui tidak cukup rasanya bagi empunya diri . Tambahan lagi apabila langkah perjuangan dihiasi dengan 1001 kenangnan.


Apakah masih ada peluang dan ruang yang disediakan untuk ana melangkah kembali di bumi ini??

Namun walau apapun yang berlaku, bumi ini, tanah ini, udara ini, segalanya di sini, terlalu banyak memahat pengalaman dan pangajaran yang sudah tentu tersemat di kalbu. Apa Yang pasti, ia akan menjadi antara kenangan yang terindah sepanjang sesi pembelajaran bersama teman-teman seperjuangan.

Segalanya akan tetap berlaku walaupun kita berharap bumi akan berputar kembali ke zaman silam bagi memastikan kita akan melangkah dengan lebih baik dan menyumbangkan lebih bnyak sumbangan dari segala aspek. Namun itu hanyalah mimpi indah yang tidak bisa terlaksana. Apa yang perlu adalah keharusan kita untuk menyusun susunan langkah dan memandang terus kehadapan tanpa sekilas menoleh imbasan kehidupan lalu.

Beberapa ketika lagi, ana dan sahabat- sahabat akan menerjah dan merasai reality kehidupan bersama masyarakat yang sememangnya akan memandang ‘ustaz dan ustazah lepasan timur tengah ‘ sudah tentu cukup mahir dalam bidang agama dan sebagainya. Ana kira Mustahil pak cik dan mak cik sekampung akan bertanya tentang teori-teori ekonomi yang di pelajari saat ini. Namun apakah kita sudah cukup bersedia untuk itu??

Maka, dengan adanya kesedaran sivix seumpama ini, ayuh!! kita sama-sama mengkoreksi diri untuk merialisasikan impian, bukan sahaja tuntutan untuk menjadi mahasiswa kelas pertama, tapi juga seorang agamawan yang pakar dalam bidang tersendiri.

Semoga Allah mempermudahkan laluan kehidupan dan menghadiahkan kesungguhan pada setiap langkah dan usaha.. Ameen.

ukht syahida ishak,
1.13 pagi,
Irbeed, Jordan.

Bermujahadahlah!!


Alhamdulillah, entry kali ni ana suka nak berkongsi dengan para sahabat yang sudi menziarahi blog ana yang dah sekian lama menyepi. Bukan apa, namun inilah pengalaman seronok yang ana suka nak ceritakan. Apapun, pertama sekali ana mohon maaf kerana dah lama tidak meng’up date’ blog suram ni.

Dah hampir sebulan pun kehidupan ana dan sahabat2 senior sibuk bersama adik-adik baru di bumi Jordan ni.
Macam-macam ragam dan kerenah yang ana dapat saksikan, antaranya ialah babak dan part sedih adik-adik bila teringat keluarga, babak gembira dapat kenalan, pening hari pertama masuk jamiah, pelik dengan budaya arab,gerun dengan doctor dan dukturah, kaku untuk membiasakan diri dalam biah yang memang di luar jangkaan mereka.

Terkadang tersenyum ana pada setiap tindakan mereka, bagai anak-anak kecil yang benar-benar memerlukan bantuan sokongan mahupun pasakan semangat dari kami yang bergelar ‘senior’.

Namun, apa yang terpapar pada wajah tulus dan luhur mereka ialah konsep mujahadah dalam mempelajari kehidupan baru, jiwa ana cukup terkesan dengan juhud mereka demi untuk mengadaptasikan diri dengan kehidupan harian. Tidak lekang mempelajari ilmu dan kalimah baru, bahkan tidak pula malu bertanya pada sahabat sohabiah melayu mahupun arab walau satu ketika ana lihat adik-adik ini, tertunduk malu dek kerana penghinaan dari kanak-kanak arab yang berada di sekeliling mereka yang jelas melontarkan kalimah-kalimah yang mampu melukakan hati.

Namun, keadaan itu sedikitpun tidak mematahkan semangat juang mereka. Mungkin inilah anugerah kekuatan yang Allah hadiahkan untuk mereka. Syabas ana ucapakan pada kalian. Yakinlah bahawa setiap ujian dan dugaan yang Allah berikan tidak lain dan tidak bukan, tentulah pada hamba yang benar-benar tabah menghadapainya. Bersyukurlah kerana kalian adalah hamba terpilih dari jutaan hamba lain.

Ada pula dalam kalangan adik-adik yang bertuah ini, sebahagian mereka sanggup mencari peluang mencuri masa bermujahadah untuk menjadi “ mustami’ ” (pendengar) dalam subjek yang diambil oleh senior dan subjek di luar jamiah (jamiah lain) semata-mata untuk mengejar tuntutan agama dalam mencari ilmu. Bertepatan benar dengan hadis yang disebut oleh Rasulullah S.A.W mafhumnya: “menuntut ilmu itu adalah kefardhuan ke atas ummat islam”.

Seawal kelas pertama yang mereka masuk, alhamdulillah Allah telah temukan kami. Terkejut juga ana dibuatnya, dan saat itu teserlah mimik muram di wajah mereka, sambil mencebik mereka mengiyakan tanggapan ana. Tidak faham la akak!!!

Ana kira mereka dah serik untuk belajar lagi, tapi segalanya meleset apabila sekali lagi Allah temukan kami selepas beberapa hari. Namun kali ini, nah!! Sambil tersenyum mereka cuba mensyarahkan apa yang telah dipelajari dalam kelas. Mumtaz!! Ana tabik dengan usaha yang ditunjukkan. Usaha mereka dah membuahkan hasil. Syukran ya Rabb!!

Walauapapun yang berlaku, segala yang baik itu, Allah lah penentunya. Semoga setiap langkah dan usaha yang kita lakukan, syurga Allah sebagai gantinya. Moga kita tergolong dalam golongan muttaqin.

-Ikhlaskan niat, jelaskan matlamat-

Perjuangan yang perlu diteruskan.

Pengembaraan mencari ilmu memang benar-benar menyukarkan tambahan lagi, bila kita terpaksa berjauhan dengan keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling. bertambah rumit, bila kita terpaksa mengharungi segala jenis dugaan dan ujian dengan hanya berbekalkan semangat dan kekuatan sendiri. Namun, adakalanya kekuatan itu Allah anugerahkan melalui sahabat seperjuangan yang sama-sama bermujahadah untuk mencari mutiara ilahi ini.

Meneruskan saki baki perjuangan mengejar tuntutan agama demi mencari nur ilahi di bumi anbiya’ ini bukan mudah bagi seorang pelajar dan daie yang benar-benar cuba untuk memutikkan cintanya kepada ilmu Allah. Adakalanya niat jauh tersimpang dari tuntutan syar’i , mencari ilmu semata nenagih pujian sahabat seperjuangan, adakalanya lupa menadah tangan bersyukur pada rahmat ilahi ketika kejayaan bertandang, tertelan jolokan syaitan menggangkat diri sendiri dan sebagainya. Bergetar jiwa bila teringat hadith rasulullah yang menyebut tentang tegahan baginda pada ummatnya.

قال رسول الله (صلى) : من طلب العلم ليجاري به العلماء أو ليماري السفهاء وجوه الناس اليه ادخوله الله النار

Sabda rasulullah: (Sesiapa yang menuntut ilmu supaya dengan ilmunya dia boleh berbantah dengan ulama’ @ berbantah dengan orang jahil dan dengan ilmunya, dia dipandang tinggi, maka Allah akan memasukkan ia ke dalam neraka.)

Jutaan ujian dari Allah yang melanda namun, hanya sekelumit darinya yang mampu ditangani dengan penuh bijaksana dan berhemah, golongan mad’u yang datang meminta nasihat ketika jatuh ingin berdiri, hanya segelintir yang mendapat kekuatan kembali, kalah dalam puluhan mujahadah, lalai melaksanakankan hak Pencipta, ibubapa, keluarga, sahabat dan masyarakat serta yang paling utama adalah hak pada diri sendiri .

Seluas lautan terpaksa direntasi, gunung-ganang perlu diharungi, bukit-bukau dilalui berbekalkan mujahadah beriringi amanah islam, ibubapa serta masyarat semata mencari bekal memasak ilmu di dada di lautan mutiara yang dihuni para anbiya’ dan ilmuan yang penuh keberkatan. Di bumi inilah para anbiaya’ berjihad bermatian menegakkan deenul islam dan tiba kini masa generasi kita menggali tinggalan mereka. Moga kekuatan milik bersama.

Agama suci ini menyeru tegas ummatnya supaya beriltizam dalam menuntut ilmu walaupun terpaksa bermandi peluh dengan juhud yang luar biasa. Tuntutan agama perlu dipenuhi demi mengecap Cinta Ilahi. Walauapapun yang terjadi, segalanya adalah rancangan ilahi dan sememangnya Dial ah sebaik perancang. Moga segala usaha syurga idaman sebagai ganjarannya. Bertepatan dengan kalam kekasih Allah yang berbunyi:

قال رسول الله (صلى) : من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله به طريقا الى الجنة

Sabda rasulullah: (Barangsiapa yang berusaha mencari satu jalan untuk menuntut ilmu, maka sesungguhnya Allah akan mempermudahkan urusan perjalanannya ke syurga.)

-Ingatan buat para sahabat dan khususnya pada empunya diri-

Kalam Qalbiey


Dikala terasa jauh dari ilahi, lemah semangat, futur, kecewa dan pelbagai perasaan yang berpaut kuat pada diri, pantas hati dan aqal mencari sumber ketenangan menghalang terus dari putus harapan dan pergantungan pada pencipta.

Mengambil masa untuk mengenang sirah dan perjuangan rasulullah sebagai inspirasi bukanlah sia-sia, bahkan mampu memberikan 1001 impak dan mengembalikan cebisan dan sisa-sisa kekuatan diri sehingga mampu berpijak kembali di dunia yang hakiki.

Cukup malang bagi sesiapa yang diberi peringatan tapi tidak dijadikan tauladan tambahan lagi, empunya diri yang telah ditakdirkan meneruskan kehidupan di bumi anbiya’ ini, harapan dan doa tinggi menggunung mengharapkan agar diri dan sahabat-sahabat sentiasa dalam rahmat ilahi.

Memuncak kerinduan pada kekasih ilahi yang tegar berdiri dengan semangat yang benar ganjil menyebarkan dakwah menegakkan agama Allah walau terpaksa mengharungi onak dan duri yang jauh lebih parah dari insan lain.

Benar diri ini mengharapkan semangat kentalmu ya Rasulullah…


Sungguh aku rindu.

Saat ini cukup damai,

Kekadang terhembus angin soify,

Menusuk ke tulang temulang,

Sungguh aku kerinduan,

pada keagungan islam yang pernah gemilang,

satu ketika dahulu,

terkenang aku pada seorang insan,

berambut hitam likat menutupi bahu,

berwajah tenang seakan rembulan,

berkulit kemerahan menampakkan kesucian,

bertubuh gagah tanda keberanian,

bersifat zuhud takutkan tuhan,

sentiasa dia mengingatkan keagungan Allah..

yang tiada tandingannya,

bermatian dalam jihad,

lekang tidak ingatannya pada yang esa,

petunjuk jalan akhir zaman,

kekasihn tuhan semesta alam,


namun,

kesuciannya disalah ertikan,

sentiasa dihina, dicaci, dan disingkir,

malah cuba ditamatkan riwayatnya,

namaun tautan rabitah diyakini,

digagahi kakinya bertapak dibumi anbiya’,

menyebarkan ad-deen yang sempurna,

walau berkocak darah dalam sepatu,

menahan kesakitan yang terzahir,

mengharungi ribuan peperanagan,

melalui pelbagai rintangan, cubaan, onak dan duri,

demi membawa islam yang satu,

teguh melangkah diiringi teman,

berganding bahu disaat gentir,

bersatu padu setiap waktu,

sentiasa Allah pergantungan yang satu,


Akhirnya,

Bersinar ad-deenul islam,

Menguasai ¾ muka bumi,

Diterangi nur rahmat yang Esa,

Sungguh dia

Aku rindui..

Kerana dia, berkesempatan kita kini,

Mengecap 2 nikmat ilahi,

Iman dan islam disanjung menggunung,

Ayuh kita menadah tangan,

mohon keampunan beserta tangisan,

kerna kealpaan sentiasa bertandang,

bersyukurlah kita masih dalam naungan,

kasih saying pencipta

syukur pada segalanya


sungguh aku rindu,

padanya yang tidak pernah ku temui,

itulah ‘Muhammad’ kekasih ilahi.


Hasil nukilan: ukht nurul syahida binti ishak

Salurkan Cintamu

Tanggal 31 mei dan 6 jun lalu, kedua-dua abang ana (kakanda Saiful Adli Bin Ishak dan kekanda Saiful Ariff Bin Ishak) Alhamdulillah telah selamat diijabkabulkan. Setinggi ucapan tahniah buat kekanda berdua. Terasa sebak memenuhi ruang dada kerana tidak berpeluang untuk melihat kalian membina masjid Allah. Walau apapun yang berlaku, ana tetap berlapang dada menerimanya. Ini adalah posisi yang terbaik yang Allah tetapkkan untuk ana. Sesungguhnya Allahlah sebaik perancang.

Beberapa minggu lalu, ana berkesempatan belajar dengan salah seorang sahabat sekelas ana yang berbangsa arab dan memandangkan kami dalam fatrah exam, perbicangan dan perbahasan dijalankan di pepustakaan universiti, beliau merupakan seorang pelajar yang sangat berdedikasi dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, serta tidak ‘loket’ untuk berkongsi ilmu dengan para sahabat tanpa mengira sebarang perbezaan antara kami. Perbincangan yang berterusan membuatkan ana mudah terasa penat dan hilang tumpuan memandangkan ana bukanlah seorang ‘ulat buku’ dan mampu bertahan untuk belajar beberapa jam tanpa henti. Lantaran itu, perbincangan kami adakalanya terhenti dan dihiasi dengan gelak ketawa susulan daripada kata-kata ana yang terpacul keluar dari kotak pembelajaran dan disusuli dengan gurau senda.

Teringat ana pada satu sesi perbualan kami, ana memanjangkan bicara dengan bercerita mengenai kegembiraan yang menyelubungi diri lantatran kerana kedua-dua kekanda ana bakal diijabkabulkan. Tambahan lagi, perkahwinan ini adalah yang pertama direncanakan oleh Pencipta buat keluarga ana dan yang unitnya kedua-duanya bakal disandingkan bersama. Namun perasaan itu deras disepuh lantaran kata-kata sahabat ana sehingga mampu memakukan situasi. Beliau dengan rasa tidak bersalah mengatakan bahawa ana adalah seorang yang tidak berperasaan dan hanya mengambil remeh tentang perkahwinan yang bakal berlangsung serta adik yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga kerana sepatutnya dalam keadaan seumpama ini, ana perlu mengambil cuti dan pulang untuk meraikan mempelai. Ana membatu beberapa ketika, hati yang tadinya berbunga, kian layu lantaran kata-katanya.

Terasa hati ini bagai benar-benar terhiris bahkan terkoyak dengan kalimah-kalimah itu. Perubahan wajah secara drastic yang terpancar dan takungan mutiara kesedihan membuatkan beliau cepat tersedar dengan kata-katanya lantas mula berfikir mungkin dengan keadaan yang lebih rasional tentang apa yang berlaku. Ana dengan perit menelan segala tuduhan yang dilemparkan dan cuba menjernihkan keadaan dalam kepayahan bermujahadah untuk berlapang dada. Masing-masing memakukan diri. Namun berbekalkan kemantapan ukhuwwah yang telah kami bina seawal ana mengenalinya membuatkan keadaan yang keruh tidak berlarutan lama. Sedikit demi sedikit hasutan syaitan dapat kami pekakkan. Dan segalanya berakhir dengan lemparan senyuman yang amat ana perlukan. Ana cuba menerangkan posisi sebenar kepadanya dan lebih jelas lagi ana bertegas dengan mengatakan bahawa ana tidak boleh sewenangnya menggunakan duit yang dibekalkan kerajaan atas kepentingan peribadi bahkan ana akan cuba memanfaatkan perbelanjaan kearah sesuatu yang lebih ilmiah dan juga boleh memberi manfaat bersama.

Tambahan lagi, jika dizinkan oleh Allah ana akan pulang pada tahun depan (2010) bersama segulung ijazah serta berbekalkan sekelumit ilmu didada yang akan dikongsi bersama masyarakat dan lebih penting lagi, jika diizinkan dan dipanjangkan umur oleh Allah, ana akan brkesempatan melihat kedua-dua kekanda dan keluarga yang amat disanyangi. Segala penjelasan ana membuatkan beliau terpana dan segera meminta maaf atas kelancaran kata-katanya yang tidak berasas. Ana menerimanya dengan hati yang terbuka dan mungkin juga disebabkan nilai kasih sayang pada beliau yang berakar kukuh.


Secara peribadinya, Ana cukup terpegun dengan sentimen nilai kasih sayang yang ditunjukkan oleh manusia berbangsa arab khususnya dalam beberapa situasi, ini mungkin kerana meraka mewarisi sifat mahmudah yang ditonjolkan oleh kekasih agung Allah S.W.T, iaitu Rasulullah. Cuma kekadang mereka bersifat agak kasar sehingga adakalanya membuat ana gerun menatapi mereka. Namun walau siapapun mereka,mereka adalah seperti kita, hamba ilahi. Nilai kasih sayang yang tidak pernah mengenal erti perbezaan.

Sentimen kasih sayang manusia akan bertambah sempurna apabila ia diterjemahkan pada keadaan yang sepatutnya, contoh mudah yang ana nak bawa adalah merujuk kepada situasi bagaimana rasululullah menyalurkan kasih sayang baginda pada seluruh anak adam tanpa mengenal walau sekelumit perbandingan samada kepada isteri, anak, sahabat mahupun umat sejagat. Bahkan ia akan bertambah cantik apabila disimpulkan dengan tautan ukhuwwah yang ikhlas semata kerana Allah.

Begitulah secebis perkongsian pengalaman yang ana boleh kongsikan. Sebagai tatapan dan pedoman buat semua. Dan tiada niat untuk mengaibkan mana-mana pihak. Semoga kita tergolong dalam golongan hambanya yang mengenal erti kasih dan sayang dan menyalurkan ke tempat yang halal dan sepatutnya. Sekian.

Cintaku hanya untuk Mu.