Atok tunggu ye!!



Takungan air mata yang semakin sarat dikandung akhirnya telah memecahkan empangannya. Titisan demi titisan mutiara jatuh ke bumi. Ketabahanku di uji lagi. Hanya Allah yang mengetahui. Latihan karisma hari ini ku rasakan cukup hambar. Pukulan rindu pada keluarga menggoncang tubuhku yang lesu. Petang yang suram seakan memahami naluri seorang cucu. Namun, ku gagahi langkah yang semakin layu.


Menggunakan perkhidmatan weenak, aku menekan butang handphoneku yang semakin usang. Bermula nombor ayah dan kemudianya nombor ibu. Beberapa kali mencuba namun, percubaan gagal. Perasaan gusar deras mendampingiku. Kedua orang tuaku mungkin sudah lama di ulit lena wahyu memandangkan waktu Malaysia menunjukkan tepat jam 11 malam. Esok mereka akan keluar awal mencari rezeki. Hanya monolog itu pengubat gusarku.

Hampir setahun suara abang tidak hinggap ke telingaku. Cepat aku mendail nombor abang yang semakin hilang dari ingatan. Alhamdulillah akhirnya debar hatiku berakhir bila abang menjawab salam. Mekar kembali!!

Soalan pertama yang terpacul dari mulut abang: syida kat mana tu??

Aku lantas menjawab: apa la abang ni, mesti la kat Jordan!! Kat mana lagi. X kan la kat belakang umah kita.

Abang membalas dengan bersahaja: betul juga, manala abang tahu.

Gelak tawa kami lantas terlerai. Abang sulungku memang dikenali dengan sifat peramah dan sangat mesra dengan adik-adiknya. Memandangkan dia dibesarkan jauh dari keluarga. Kesempatan bersama yang hanya seketika digunakan dengan sebaik mungkin. Sifatnya yang mampu berdikari dari kecil amat kami senangi.

Jauh di hujung talian aku dengan teliti mendengar setiap patah susunan kata-kata abang. Abang memulakan bicara. Suaranya semakin perlahan sepertinya menahan sedih di hati.
Luluh jantungku bila berita kemalangan atok abang khabarkan. Beberapa hari lepas, ayah ada memberitahuku, namun ayah hanya menceritakannya secara gambaran kasar. Mungkin kerana naluri seorang bapa. Khuatir anak di perantauan hilang punca kekuatan.

Keadaan atok agak teruk sehingga perlu di jalankan “operation”. Kata abang tulang pelvis atok patah. Subhanallah atok yang dulunya cergas, kini hanya berharap pada bantuan kemanusiaan. Atok terpaksa dipakaikan pampers kerana sudah tidak mampu bergerak. Setiap kali proses penukaran, atok akan mengerang kesakitan, titisan peluh mengalir, tangannya kemas digenggam, suara tuanya sayup kedengaran. Hanya Allah sahaja yang benar memahami kesakitannya. Dialah pencipta kesakitan dan dia jugalah yang mampu menyembuhkannya. Ya Allah berilah aku kesempatan bertemu dengannya.

Bertambah pilu bila setiap kali abang menjenguknya, dia akan bertanyakan pada abang pertanyaan yang sama.

Abang, bila syida nak balik?

Lama lagi x?

Sempat tak atok nak jumpa dia?

Berderai mutiara jernih, tersandar aku dek panahan kata-kata abang. Terasa hilang pertimbangan bila atok di uji seumpama itu. Moga kekuatan dan kesabaran milik atok. Moga kesakitan atok Allah gantikan dengan hikmah yang Dia sahaja yang mengetahuinya.

Ya Allah berilah aku kesempatan bertemu dengan atok.

Berilah keKuatan dan ketabahan padanya.

Sembuhkanlah dia ya Rahim.

Sesungguhnya engkau jualah Tuhan yang maha pemurah lagi maha penyanyang.

0 comments:

Post a Comment